TARIKH KREDIT BANTUAN SARA (SUMBANGAN ASAS RAHMAH) – SEMAKAN STATUS KELAYAKAN
Tarikh pembayaran bantuan Sumbangan Asas Rahmah SARA 2026 (bulanan dan RM100 one-off) sudah diumumkan. Semak jadual pembayaran, syarat kelayakan, dan kadar bantuan melalui Portal Rasmi SARA.

Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2026 adalah bantuan wang bulanan oleh kerajaan Malaysia, kesinambungan daripada Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Penerima yang memenuhi syarat akan menerima kredit elektronik dalam MyKad mereka untuk membeli barangan keperluan asas di kedai dan pasar raya terpilih di seluruh negara.
Berikut dikongsikan maklumat lengkap mengenai SARA termasuk tarikh agihan, kadar bantuan dan semakan status kelayakan.
PENGENALAN BANTUAN SARA 2026
SARA 2026 bermula sebagai usaha berterusan kerajaan di bawah kerangka Malaysia MADANI untuk memperkukuh sistem sokongan sosial. Tidak seperti STR yang memberi wang tunai, SARA disalurkan sebagai kredit tanpa tunai ke dalam MyKad penerima.
Kredit SARA boleh digunakan untuk membeli lebih daripada 14 jenis barangan asas (seperti makanan, barangan dapur, keperluan harian, ubat-ubatan, peralatan sekolah, dan lain-lain) di lebih 10,000 kedai runcit dan pasar raya yang berdaftar di seluruh negara.

Dalam Belanjawan 2026, program STR dan SARA diperuntukkan RM15 bilion dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 9 juta penerima STR, manakala inisiatif SARA RM100 sekali bayar (Penghargaan SARA) akan diberikan kepada kira-kira 22 juta rakyat dewasa. Tujuannya adalah untuk memastikan bantuan diberikan secara berterusan sepanjang tahun kepada isi rumah yang memerlukan, dan setiap individu dewasa B40.
‘Baca Juga : STR Fasa 1 2026 (Semakan Kelayakan Penerima)‘
KELAYAKAN PENERIMA BANTUAN SARA 2026
Berikut ialah kategori penerima yang layak menerima SARA 2026, berdasarkan syarat kelayakan STR 2026 yang telah ditetapkan oleh kerajaan :
- Isi Rumah (Keluarga B40/M40) :
- Ini termasuk pasangan berkahwin atau ibu/bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan, dengan pendapatan kasar isi rumah RM5,000 sebulan dan ke bawah. (Pendapatan ≤RM2,500 dikelaskan sebagai B40, manakala pendapatan RM2,501- RM5,000 dikira sebagai M40 rendah yang layak menerima bantuan pada kadar yang lebih rendah).
- Contoh : Pasangan suami isteri yang berpendapatan RM4,000 dengan 2 orang anak termasuk dalam kategori ini dan layak memohon STR serta SARA.
- Warga Emas Tiada Pasangan :
- Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas yang hidup seorang diri / balu / duda tanpa pasangan dan tiada anak yang memenuhi syarat tanggungan, dengan pendapatan RM5,000 ke bawah. Kategori ini meliputi golongan emas B40/M40 yang tinggal bersendirian atau bersama keluarga tetapi tanpa pasangan.
- Contoh : Seorang warga emas berusia 65 tahun yang duda dan berpendapatan RM2,000 sebulan layak sebagai Warga Emas Tiada Pasangan.
- Bujang :
- Individu bujang (belum berkahwin / tiada anak) berumur 21 hingga 59 tahun, bukan pelajar sepenuh masa, dengan pendapatan RM2,500 sebulan dan ke bawah. Bagi individu OKU yang belum berkahwin, had umur minimum ialah 19 tahun ke atas (dengan syarat bukan pelajar sepenuh masa) untuk layak dalam kategori bujang ini.
- Contoh : Seorang bujang berusia 30 tahun yang berpendapatan RM1,800 layak dalam kategori ini. (Nota : Mulai 2026, penerima bujang yang layak hanya akan menerima bantuan dalam bentuk SARA bulanan dan tidak lagi menerima bayaran tunai STR)
- Golongan Miskin Tegar/Miskin (eKasih) :
- Penerima STR daripada mana-mana kategori di atas yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih sebagai Miskin Tegar atau Miskin secara automatik layak menerima SARA pada kadar tertinggi (lihat bahagian jumlah bantuan di bawah).
- Contoh : Sebuah isi rumah miskin tegar berpendapatan RM1,200 dengan 3 anak (tersenarai dalam eKasih) akan layak menerima SARA pada kadar maksimum.
JUMLAH & KADAR BANTUAN SARA 2026
Jumlah bantuan SARA yang diberikan berbeza mengikut kategori penerima. Untuk tahun 2026, kadar bantuan bulanan adalah seperti berikut :
- Penerima dalam eKasih (Miskin Tegar/Miskin) :
- RM200 sebulan (bersamaan RM2,400 setahun). Ini adalah kadar SARA tertinggi, diberikan kepada kira-kira 1 juta penerima STR yang disenaraikan dalam eKasih kerana tergolong dalam kumpulan berpendapatan paling rendah.
- Isi Rumah (STR bukan eKasih) :
- RM100 sebulan (RM1,200 setahun). Kadar ini dinikmati oleh penerima STR kategori isi rumah B40/M40 yang layak (selain yang sudah menerima kadar eKasih di atas).
- Bujang & Warga Emas :
- RM50 sebulan (RM600 setahun). Semua penerima bujang dan Warga Emas STR 2026 akan menerima bantuan SARA sahaja sebanyak RM50 sebulan yang dikreditkan ke MyKad mereka (tiada bayaran tunai STR untuk bujang pada 2026).

Bantuan SARA dikreditkan setiap bulan ke dalam MyKad penerima sepanjang tahun 2026. Penerima boleh membelanjakan kredit ini pada bila-bila masa dalam tahun 2026, mengikut keperluan. Baki yang tidak digunakan pada bulan tertentu akan dibawa ke bulan berikutnya secara automatik dan digabungkan dengan kredit baharu sehingga 31 Disember 2026.
CARA SEMAKAN STATUS BANTUAN SARA
Untuk menyemak status kelayakan SARA 2026 atau baki kredit SARA anda, kerajaan menyediakan semakan rasmi yang mudah dan selamat. Elakkan menggunakan pautan yang tidak sah atau berkongsi maklumat peribadi di laman web yang meragukan, rujuk hanya saluran rasmi yang disediakan oleh kerajaan. Berikut ialah cara membuat semakan SARA :
Semakan SARA Di Portal Rasmi MyKasih
- Layari portal rasmi MyKasih di : https://checkstatus.mykasih.net/sara2/checkstatus
- Masukkan nombor MyKad anda pada ruangan yang disediakan. Pastikan nombor IC dimasukkan tanpa tanda sempang (-).
- Klik butang “Semakan Status”. Sistem akan memaparkan status kelayakan SARA anda.
- Jika anda layak, anda boleh melihat maklumat seperti jumlah kredit layak, baki terkini kredit SARA dalam MyKad anda, serta senarai kedai berdaftar berhampiran untuk menebus bantuan.
- Melalui portal MyKasih ini, anda boleh menyemak bila-bila masa status bantuan anda.
Semakan SARA Melalui Portal MySTR
Bagi penerima STR, anda juga boleh menyemak status SARA melalui Portal MySTR di laman LHDN yang sama digunakan untuk menyemak STR.
- Layari portal rasmi MySTR di : https://bantuantunai.hasil.gov.my
- Masuk ke akaun MySTR anda dengan memasukkan No. MyKad dan kata laluan yang didaftarkan.
- Setelah berjaya log masuk, klik menu “Semakan Permohonan” atau pilihan yang menunjukkan status bantuan.
- Pada halaman semakan, anda akan dapat melihat status permohonan STR 2026 anda.
- Pada paparan yang sama, sistem akan memaparkan maklumat kelayakan SARA 2026 (jika layak) beserta jumlah bayaran. Anda boleh lihat butiran seperti kategori anda, amaun SARA bulanan, dan tarikh bayaran yang dijadualkan.

Semak di Laman Web Rasmi SARA
- Laman web rasmi program SARA juga menyediakan info dan pautan semakan. Di laman itu, terdapat butang “Semak Kelayakan” yang akan membawa pengguna ke portal MyKasih.
- Laman SARA turut mengandungi Soalan Lazim (FAQ), panduan pembelian, senarai kategori produk, dan senarai kedai yang terlibat. Penerima digalakkan membaca FAQ rasmi di portal tersebut untuk memahami terma penggunaan, tempoh sah kredit, dan hal-hal teknikal lain.
Aplikasi MyKasih
Untuk kemudahan pengguna, aplikasi mudah alih MyKasih juga disediakan. Penerima boleh memuat turun aplikasi MyKasih dan mendaftar akaun menggunakan IC mereka. Melalui aplikasi, penerima dapat menyemak baki SARA terkini, melihat transaksi pembelian, dan mencari kedai berdekatan yang menerima SARA.
Selain daripada cara di atas, tiada cara semakan lain yang diiktiraf. Tiada semakan melalui SMS, WhatsApp atau panggilan telefon automatik untuk SARA. Berhati-hati dengan penipuan yang meminta butiran peribadi anda. Sekiranya anda ragu-ragu, hubungi terus talian hotline BKK LHDNM (1-800-88-2747) atau Talian MOF (03-8882 4565/4566) untuk pengesahan.
TARIKH KREDIT BANTUAN SARA 2026
Berikut ialah tarikh-tarikh penting berkaitan pelaksanaan dan pembayaran SARA 2026 yang perlu diberi perhatian oleh penerima :
- Januari 2026 : Kredit SARA bulanan bagi tahun 2026 akan mula dikreditkan pada 9 Januari.
- Februari 2026 : Bayaran SARA RM100 (One-Off) akan diberikan kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, tanpa mengira status STR. Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa kredit RM100 melalui MyKad ini akan disalurkan pada 9 Februari 2026 bagi membantu rakyat membuat persediaan menyambut bulan Ramadan dan perayaan Tahun Baru Cina.
- 31 Disember 2026 : Tarikh tamat tempoh penggunaan kredit SARA 2026. Semua baki kredit SARA 2026 yang tidak dibelanjakan sehingga 31/12/2026 akan luput selepas tarikh ini. Penerima disarankan membelanjakan sepenuhnya baki mereka sebelum tahun berakhir.

KATEGORI BARANGAN BANTUAN SARA
Antara contoh kategori barangan yang boleh dibeli termasuk :
- Beras
- Minyak masak
- Telur,
- Makanan dalam tin (contoh: sardin)
- Biskut,
- Tepung,
- Bahan perasa (gula, garam, kicap, sos)
- Roti,
- Mi segera,
- Minuman (contoh: susu tepung, teh, kopi),
- Barangan penjagaan diri (contoh: sabun, ubat gigi, tuala wanita, lampin pakai buang),
- Peralatan pembersihan rumah (contoh: pencuci lantai, sabun basuh)
- Keperluan sekolah (contoh: uniform, kasut, beg, alat tulis)
- Ubat-ubatan asas yang diluluskan KKM.

Pastikan barangan yang dipilih termasuk dalam kategori yang dibenarkan supaya pembelian dapat dibayar menggunakan kredit SARA.
MAKLUMAT & INFO LANJUT
Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan mengenai bantuan SARA, sila layari atau hubungi :
- Talian Hotline SARA : 03-8882 4565 / 03-8882 4566
- Laman Web Rasmi MyKasih : https://www.mykasih.com.my
- Emel : [email protected]