BAYARAN SARA MYKASIH 2026 – JUMLAH BANTUAN

BAYARAN SARA MYKASIH 2026 – JUMLAH BANTUAN MENGIKUT KATEGORI PENERIMA

Bantuan SARA MyKasih (Sumbangan Asas Rahmah) 2026 akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima yang layak bermula 9 Januari. Semak status kelayakan anda di https://www.mykasih.com.my.

BAYARAN SARA DAN STR

Berikut dikongsikan maklumat lengkap mengenai bantuan SARA MyKasih 2026 termasuk kadar bantuan, cara tebus menggunakan mykad dan senarai barangan yang boleh dibeli.

BANTUAN SARA MyKASIH 2026

Sumbangan Asas Rahmah (SARA) MyKasih 2026 ialah bantuan kerajaan Malaysia yang diberi terus ke dalam MyKad penerima yang layak setiap bulan. Dengan program ini, penerima boleh membeli barang keperluan asas di kedai MyKasih tanpa menggunakan wang tunai.

SUMBANGAN ASAS RAHMAH (SARA)

Program membantu mereka yang berpendapatan rendah untuk menguruskan perbelanjaan harian dengan lebih baik, selaras dengan Ekonomi MADANI yang memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat.

SARA 2026 diberi secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang layak, termasuk keluarga B40, warga emas, bujang berpendapatan rendah, dan penerima dalam pangkalan data eKasih (miskin tegar).

Baca Juga : BUDI MADANI Diesel (Panduan Lengkap Permohonan)

TARIKH BAYARAN SARA MYKASIH 2026

Biasanya, SARA bulanan masuk pada hari pertama setiap bulan, tetapi untuk bulan pertama ada sedikit perbezaan :

TARIKH BAYARAN SARA MYKASIH 2026
  • Januari 2026 : Pembayaran mula dimasukkan mulai 9 Januari 2026 secara berperingkat. Pada tarikh ini, penerima kategori isi rumah (berkahwin/berkeluarga) dan warga emas akan menerima SARA mereka, diikuti kategori bujang mulai 16 Januari 2026.

(Nota : Pembayaran berperingkat ini dibuat untuk memastikan sistem berjalan lancar kerana jumlah penerima yang besar.)

  • Februari 2026 dan seterusnya : Mulai Februari, pembayaran SARA dijadualkan pada awal bulan (sekitar 1 haribulan) setiap bulan. Contohnya, SARA bulan Februari 2026 akan dimasukkan pada 1 Februari 2026, manakala SARA Mac 2026 pada 1 Mac 2026, dan seterusnya.
  • Semua baki kredit SARA yang tidak digunakan dalam bulan tersebut akan dibawa ke bulan seterusnya sehingga 31 Disember 2026. Ini bermakna jika anda tidak membelanjakan semua jumlah SARA bulan tersebut, baki itu masih boleh digunakan pada bulan-bulan seterusnya dalam tahun 2026.

KADAR / JUMLAH BANTUAN SARA MyKASIH 2026

Jumlah bantuan SARA MyKasih 2026 berbeza mengikut kategori penerima. Kerajaan telah menetapkan kadar bantuan bulanan yang sesuai, dengan golongan miskin tegar menerima jumlah yang lebih tinggi. Berikut adalah kadar SARA bulanan 2026 bagi setiap kategori penerima yang layak :

  • Isi Rumah (Keluarga) : RM100 sebulan (RM1,200 setahun) akan dimasukkan kepada ketua isi rumah penerima STR 2026 yang layak. (Kategori isi rumah termasuk pasangan berkahwin atau ibu/bapa tunggal dengan anak).
  • Warga Emas Bujang (60 tahun ke atas, tiada pasangan) : RM50 sebulan (RM600 setahun) akan dimasukkan kepada penerima STR kategori warga emas bujang yang layak. Bagi 2026, kerajaan mengekalkan bayaran tunai STR sebanyak RM600 setahun untuk golongan ini, dan meningkatkan SARA mereka daripada RM450 (2025) kepada RM600 setahun, menjadikan jumlah bantuan keseluruhan lebih tinggi.
  • Bujang (Individu bujang dewasa di bawah 60 tahun) : RM50 sebulan (RM600 setahun) akan dimasukkan kepada penerima STR kategori bujang yang layak. Mulai 2026, kerajaan menyusun semula bantuan bujang. STR tunai kategori bujang digantikan sepenuhnya dengan SARA RM600 setahun. Ini bermakna golongan bujang tidak lagi menerima STR tunai, sebaliknya mendapat bantuan dalam bentuk kredit SARA setiap bulan.
  • eKasih (Miskin Tegar) : RM200 sebulan (RM2,400 setahun) akan dimasukkan kepada penerima yang disenaraikan sebagai miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih. Golongan isi rumah miskin tegar menerima tambahan RM1,200 setahun dalam bentuk SARA berbanding penerima biasa, menjadikan jumlah SARA mereka RM2,400 setahun (berbanding RM1,200 bagi isi rumah B40 biasa). Inisiatif ini memastikan keluarga miskin tegar mendapat bantuan yang mencukupi dua kali ganda daripada isi rumah biasa.
KADAR / JUMLAH SUMBANGAN ASAS RAHMAH 2026
Kadar Bantuan SARA & STR 2026

SARA UNTUK SEMUA (ONE-OFF RM100)

Sebagai tambahan kepada bayaran bulanan di atas, kerajaan mengumumkan pemberian khas RM100 yang dikenali sebagai “SARA untuk Semua”. Bantuan ini diberikan sekali sahaja pada Februari 2026 kepada semua rakyat Malaysia dewasa sebagai tanda keprihatinan terhadap peningkatan kos hidup. Berikut adalah butiran bayaran RM100 SARA 2026 :

SARA UNTUK SEMUA RM100
  • Tarikh Bayaran : Dikreditkan mulai 9 Februari 2026 ke dalam MyKad penerima. (Tarikh ini dipilih bersempena persiapan menyambut bulan Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026, di mana perbelanjaan isi rumah biasanya meningkat.)
  • Penerima yang Layak : Semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas layak menerima RM100 ini, termasuk yang bukan penerima STR. Ini bermakna lebih kurang 22 juta rakyat Malaysia akan mendapat manfaat RM100 tanpa mengira pendapatan atau status penerimaan bantuan lain. (Contohnya, golongan M40 yang tidak menerima STR juga akan menerima RM100 ini.)
PERBEZAAN SARA UNTUK SEMUA DAN SARA BULANAN

Sama seperti SARA bulanan, bantuan RM100 ini hanya boleh digunakan untuk pembelian barang asas terpilih dan tidak boleh dikeluarkan sebagai tunai.

SEMAKAN SARA MYKASIH 2026

Kerajaan menyediakan kemudahan semakan status secara online untuk memudahkan penerima. Berikut adalah cara menyemak status SARA MyKasih 2026 :

Portal Rasmi SARA/MyKasih

  • Lawati laman web MyKasih di : https://checkstatus.mykasih.net/sara2/checkstatus
  • Masukkan nombor MyKad (tanpa tanda sempang).
  • Masukkan kod keselamatan (captcha) yang tertera.
  • Klik butang “Semak Status”.
  • Keputusan akan menyatakan :
    • Status kelayakan (“Layak” / “Tidak Layak”)
    • Nama penuh penerima
    • Baki kredit SARA dalam MyKad
    • Tarikh bantuan mula dikreditkan
SEMAKAN SARA MELALUI LAMAN WEB MYKASIH

Semakan Status di Portal MySTR

  • Sila pergi ke pautan rasmi Log Masuk mySTR 2026 di sini : https://bantuantunai.hasil.gov.my/2026/Identity/Account/Login
  • ⁠Pengguna akan dibawa ke Halaman Utama Log Masuk mySTR.
  • Masukkan No Kad MyKad anda.
    • Tekan (Semak).
    • Klik (Ya) jika kata kunci keselamatan adalah seperti yang anda telah buat.
    • Seterusnya, tekan butang (Semak).
  • Isi Kata Laluan yang anda telah cipta semasa pendaftaran akaun pengguna baharu.
    • ⁠Klik butang (Log Masuk).
    • Sekiranya anda berjaya, paparan skrin anda akan dipaparkan Dashboard MySTR.
  • ⁠Butiran seperti di bawah akan dipaparkan :
    • Status Permohonan STR;
    • Jumlah Telah Dibayar;
    • Jumlah Bayaran Keseluruhan STR; DAN
    • Status Kelayakan SARA;
  • Selesai
SEMAK KELAYAKAN SARA DI LAMAN WEB RASMI MYSTR

Aplikasi MyKasih

  • Sebagai pilihan, anda boleh menggunakan Aplikasi MyKasih (boleh dimuat turun dari Google Play Store / Apple App Store).
  • Log masuk menggunakan IC dan telefon yang berdaftar, kemudian pilih menu “Semakan/Status Bantuan” untuk menyemak kelayakan dan baki.
  • Aplikasi ini juga membolehkan anda melihat sejarah transaksi dan lokasi kedai berdaftar berhampiran.
APLIKASI MYKASIH

CARA TEBUS BANTUAN SARA MENGGUNAKAN MYKAD

Setiap penerima SARA akan menggunakan MyKad mereka sebagai “kad debit” untuk membeli barang keperluan asas di kedai yang terpilih. Berikut adalah langkah-langkah cara menggunakan baki SARA dalam MyKad anda :

  • Beli di Kedai Berdaftar : Pergi ke mana-mana kedai runcit atau pasar raya yang berdaftar dalam program MyKasih. Anda boleh menyemak senarai kedai berdaftar berdekatan melalui laman web atau aplikasi MyKasih.
  • Pilih Barang Keperluan Asas : Pilih barang keperluan asas yang ingin dibeli. Program SARA menghadkan pembelian kepada barang keperluan asas penting sahaja. Di kedai, anda boleh mencari barang yang layak melalui label “SARA” atau “MyKasih”.
  • Serahkan MyKad di Kaunter : Setelah memilih barang, pergi ke kaunter pembayaran dan serahkan MyKad anda kepada juruwang. Beritahu juruwang bahawa anda ingin menggunakan bantuan MyKasih/SARA. Juruwang akan mengimbas barang yang anda beli.
  • Masukkan PIN MyKad : Kali pertama penggunaan, PIN sementara MyKad anda adalah 6 digit pertama nombor IC anda. Tukar PIN sementara ini kepada PIN baharu pilihan anda. Masukkan PIN 6 digit tersebut pada terminal kad apabila diminta.
  • Transaksi Selesai & Semak Baki : Setelah PIN disahkan, nilai bantuan SARA akan ditolak secara automatik daripada baki dalam MyKad untuk membayar pembelian barang anda. Jika jumlah pembelian melebihi baki SARA, anda boleh membayar baki selebihnya menggunakan tunai atau cara lain.
  • Simpan Resit Pembelian : Pastikan anda menyimpan resit bagi tujuan semakan atau rujukan transaksi pembelian di kemudian hari.
PANDUAN PENEBUSAN BANTUAN SARA MENGGUNAKAN MYKAD

SENARAI KATEGORI BARANGAN SARA MyKASIH

Berikut merupakan 14 kategori barangan yang diluluskan dengan pembayaran menggunakan kredit SARA (MyKad) :

  1. Produk Kebersihan : Colgate / Kotex / Detol
  2. Ubat-ubatan : Prospan / Difflam / Hurix’s / Panadol / Sterimar
  3. Barangan Sekolah : Stabilo / Faber-Castle / Bata / Staedtler / Canggih
  4. Beras : Jasmine / Jati, Bernas / Faiza / Cap Rambutan dan sebagainya
  5. Roti : Gardenia / Massimo / Mighty White
  6. Telur : Nutriplus / QL eggs / CP
  7. Minyak Masak : Sri Murni / Saji / Alif / Daisy / Buruh / Knife / Vesawit
  8. Tepung : Cap Sauh / Cap Lili / Faiza / Cap Ros / BlueKey
  9. Biskut : Julies / Tiger / Munchys / Chipsmore / Jacobs / Hwa Tai / Hup Seng
  10. Mi segera : Indo Mie / Mamee / Maggi / Cintan / Mi Sedap
  11. Minuman : Tea Boh / Milo / Dutch Lady / F&N / Nescafe / Horlicks / Vico / Marigold / Quacker / Fernleaf
  12. Makanan dalam tin : Ayam Brand / Yoes, Adabi / Kimball / TC Boy / King Cup
  13. Bahan perasa : Sos Puteri / Kimball / Life / Jalen / Cap Kipas Udang / Tamin / Maggi / Faiza / Planta
  14. Produk Kebersihan Rumah : Sabun Pencuci / Pencuci Lantai / Pencuci Pinggan
SENARAI BARANGAN BANTUAN SARA

SOALAN LAZIM (FAQ) SARA 2026

Adakah saya perlu memohon SARA 2026?

Tidak. SARA 2026 diberi secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang layak.

Di mana boleh guna kredit SARA?

Kredit SARA boleh digunakan di lebih 4,100 kedai rakan niaga MyKasih di seluruh negara seperti Mydin, Giant, HeroMarket, serta kedai runcit tempatan berdaftar.

Apakah barangan yang boleh dibeli?

Terdapat 14 kategori barangan asas termasuk:beras, minyak masak, tepung, gula, susu, telur, ayam, ikan, sayur, roti, lampin, ubat asas (seperti Panadol), sabun mandi, dan alat tulis.

Adakah baki kredit SARA akan luput setiap bulan?

Tidak. Baki kredit tidak akan luput dalam bulan yang sama dan boleh digunakan sehingga 31 Disember 2026.

Bagaimana cara menyemak status kelayakan SARA dan baki dalam MyKad?

Anda boleh menyemak status kelayakan SARA 2026 secara online. Layari portal rasmi MyKasih atau Portal MySTR.

MAKLUMAT & INFO LANJUT

Maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan berkaitan Sumbangan Asas Rahmah SARA 2026, sila layari atau hubungi :

  • Portal Rasmi MyKasih : https://www.mykasih.com.my
  • Talian Bantuan MyKasih : 03-7720 1800 (Isnin – Jumaat, 8.30 pagi – 5.30 petang).
  • Talian Hotline STR MoF : 03-8882 4565/4566

Dengan adanya program SARA MyKasih 2026 ini, kerajaan berharap dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat. Pastikan anda menggunakan bantuan ini sebaiknya untuk keperluan asas keluarga. Semoga inisiatif SARA 2026 ini dapat memberi manfaat kepada semua yang memerlukan.

Leave a Comment